Spurs ‘makan’ besar

LONDON, 14 April – Mauricio Pochettino percaya kemenangan besar 4-0 Tottenham terhadap Huddersfield, malam tadi boleh menjadi kunci kepada perebutan kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris musim ini.

Tanpa kelibat penyerang utama, Harry Kane dan pemain tengah, Dele Alli yang mengalami kecederaan, penyerang Brazil Lucas Moura mengambil alih peranan itu dengan baik apabila meledak hatrik.

Ia adalah kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan Spurs di gelanggang baharu mereka, Stadium Tottenham Hotspur yang bernilai 1 bilion pound sekali gus membantu pasukan itu merampas kembali ke tangga ketiga liga. Selain perebutan kedudukan empat teratas liga, Spurs turut bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara dan dijadual bertemu Manchester City bagi aksi suku akhir kedua, minggu depan di Etihad dengan kelebihan satu gol.

“Ia akan menjadi perlumbaan yang amat sukar. Untuk menjaringkan beberapa gol adalah amat penting. Perbezaan gol boleh menjadi penentu untuk mencapai kedudukan empat teratas pada penghujung saingan,” kata Pochettino.

“Kami perlu mengharungi tempoh yang sukar. Jika kami mengharungi tempoh ini dengan keyakinan, jadi kami boleh mencapai sasaran yang kami tetapkan.” – AFP

Pemain Tottenham, Lucas Moura, meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol keempat pasukannya menentang Huddersfield Town di Stadium Tottenham Hotspur, kelmarin. – AP