Spurs pilih Mourinho, pecat Pochettino

LONDON, 20 NOV – Jose Mourinho (gambar bawah) hari ini telah dilantik mengantikan Mauricio Pochettino di Tottenham berikutan dengan pemecatan pengurusnya, Mauricio Pochettino hari ini, hanya selepas enam bulan pasukan itu mara ke final Liga Juara-Juara berikutan permulaan buruk di musim Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2022-23.

“Kualiti berada dalam skuad dan akademi membuatkan saya gembira,” kata jurulatih berbangsa Portugis berusia 56 tahun itu.

“Bekerjasama dengan mereka adalah sesuatu yang menarik saya.”

Tottenham yang menduduki tangga ke-14 dalam saingan Liga Perdana mengumumkannya menerusi satu kenyataan.

Pochettino, 47, menyertai Spurs daripada Southampton pada 2014 dan menjadi watak penting mengubah Tottenham antara pasukan yang sering tidak terlepas bersaing di Liga Juara-Juara sejak empat musim lalu. Kemuncak kejayaan yang penuh dramatik bagi kelab itu di final Piala Eropah buat julung kali pada Jun di mana mereka tewas 0-2 kepada Liverpool di Madrid.

Begitupun, ia mempamerkan keputusan domestik tidak menentu sejak Februari. Spurs harus berterima kasih kepada Arsenal dan Manchester United kerana memberi mereka tempat dalam kedudukan empat teratas musim lalu selepas aksi merudum lawan di penghujung musim tatkala Spurs hanya memenangi tiga perlawanan terakhir dalam 12 perlawanan liga. – AFP