Spurs sedia tambah derita Man City

LONDON, 20 Jan – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mahu skuadnya menunjukkan kebolehan mereka untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana apabila Tottenham bertemu Manchester City pada hari Ahad ini.

Tottenham melonjak ke tangga kedua hujung minggu lalu selepas menewaskan West Bromwich Albion 4-0 dan dalam pemburuan bagi merekodkan tujuh kemenangan berturut-turut Liga Perdana buat pertama kali sejak tahun 1967.

City sebaliknya pula tewas dengan keputusan sama di Everton, tetapi Pochettino lebih bimbangkan jurang tujuh mata dengan pendahulu liga, Chelsea, berbanding beza enam mata yang mampu dilebarkan ke atas pasukan kendalian Pep Guardiola itu.

“Kami perlu menunjukkan bahawa kami mampu menjadi pesaing sebenar kejuaraan Liga Perdana,” kata Pochettino.

Reaksi pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika pasukannya dibelasah teruk oleh Everton hujung minggu lalu di Goodison Park. – AP
Reaksi pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika pasukannya dibelasah teruk oleh Everton hujung minggu lalu di Goodison Park. – AP
Mauricio Pochettino mahu skuadnya tunjukkan kebolehan mereka dalam merebut kejuaraan Liga Perdana. – AP
Mauricio Pochettino mahu skuadnya tunjukkan kebolehan mereka dalam merebut kejuaraan Liga Perdana. – AP

“Itulah cabaran sebenar. Ia lebih penting untuk kami membuktikan keupayaan kami daripada memikirkan tentang Manchester City.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya rasa apabila bertemu pasukan seperti Manchester City, anda perlu memberikan yang terbaik.

“Cabaran kami adalah sedaya upaya untuk mendapatkan tiga mata. Tetapi terlalu awal untuk memperkatakan tentang perlawanan penentuan, mata penentuan kami. Masih banyak yang perlu diharungi.” – AFP