Spurs tembusi 4 pasukan teratas

WATFORD, 2 Jan – Tottenham Hotspur telah merekodkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Watford semalam, sekaligus melonjakkan mereka ke kedudukan empat teratas Liga Perdana mengatasi Manchester City dengan perbezaan jaringan.

Senarai panjang pemain yang cedera bagi Watford dengan jelas lemah berhadapan dengan dua jaringan daripada Harry Kane dan Dele Ali bagi memberikan Spurs separuh masa pertama yang sempurna dengan pendahulan 3-0.

Alli kemudian menjaringkan gol keduanya di awal separuh masa kedua sebelum pengurus Mauricio Pochettino menggantikan kedua penjaringnya bagi pertembungan dengan pendahulu Liga Perdana, Chelsea di White Hart Lane Khamis ini.

“Dalam masa tiga hari, kami mempunyai satu perlawanan penting jadi kami perlu merehatkan beberapa pemain dan memberikan peluang kepada pemain lain untuk beraksi, ia adalah penting untuk terus segar dan kompetitif,” kata Pochettino.

“Saya sangat gembira kerana ia adalah satu perlawanan yang sukar dan pasukan memberikan respons yang baik.”

Harry Kane (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Perdana di mana Tottenham Hotspur membenam Watford 4-1 di Stadium Vicarage Road semalam. – AP
Harry Kane (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Perdana di mana Tottenham Hotspur membenam Watford 4-1 di Stadium Vicarage Road semalam. – AP

Younes Kaboul menjaringkan gol sagu hati bagi Watford di masa kecederaan bagi satu-satunya percubaan tepat pada sasaran mereka.

Chelsea mempunyai kelebihan 10 mata di depan skuad Pochettino, tetapi Spurs pasti masih ingat dengan baik bahawa harapan kejuaraan mereka punah di Stamford Bridge pada musim lepas.

Chelsea berjaya mengekang Spurs pada musim lepas, di mana Spurs sangat memerlukan kemenangan bagi terus mengejar Leicester City.

Kini Spurs bersemangat untuk menamatkan cubaan Chelsea bagi merekodkan 14 kemenangan berturut-turut. – AFP