Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spurs terima pukulan Hammers

    LONDON, 7 Mei – Mauricio Pochettino khuatir bahawa Tottenham Hotspur telah melepaskan peluang mereka untuk memenangi Liga Perdana kerana mereka kekurangan keazaman yang diperlukan untuk berjaya di bawah tekanan hebat.

    Skuad Pochettino tewas mengejut 1-0 di West Ham United kelmarin, yang menyaksikan usaha merebut gelaran semakin tipis dan sekali gus mendekatkan lagi Chelsea untuk dimahkotakan juara.

    Dikejutkan dengan jaringan Manuel Lanzini pada separuh masa pertama, pasukan di tangga kedua, Tottenham kekal empat mata di belakang pendahulu dan perebutan gelaran mungkin berakhir menjelangnya pertemuan Spurs menentang Manchester United pada 14 Mei.

    Chelsea memerlukan enam mata daripada empat perlawanan untuk memastikan puncak liga terjamin dan mereka akan mencapai sasaran mereka dengan kemenangan ke atas Middlesbrough Selasa ini dan West Bromwich awal pagi Sabtu.

    Ia adalah satu prospek menyakitkan bagi skuad Tottenham, yang telah memenangi sembilan perlawanan liga berturut-turut untuk memulakan impian memburu gelaran pertama sejak 1961.

    Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah) dikawal ketat oleh dua pemain West Ham, James Collins (kanan) dan Jose Fonte dalam perlawanan yang menyaksikan Hammers mengejutkan Spurs 1-0. – AP
    Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah) dikawal ketat oleh dua pemain West Ham, James Collins (kanan) dan Jose Fonte dalam perlawanan yang menyaksikan Hammers mengejutkan Spurs 1-0. – AP

    Tetapi Pochettino sedar bahawa mereka layak mendapat beberapa kritikan selepas persembahan yang tidak bersemangat.

    Situasi Spurs ini mengimbas kembali apa yang terjadi pada musim lepas ketika mereka juga mensia-siakan peluang untuk memintas Leicester.

    Dan Pochettino mengakui bahawa para pemainnya kekurangan sesuatu ketika mereka sangat memerlukannya.

    “Kami perlu menganalisa kenapa ia sukar untuk mendapatkan mata di sini.

    “Untuk memenangi trofi, anda perlu menunjukkan di saat-saat penting anda perlu menang. Hari ini(kelmarin) adalah detik penting itu.

    “Jika anda mahu menjadi juara. Bagaimana? Saya tidak tahu. Tetapi anda perlu menang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda