SOUTHAMPTON, 8 Mac – Apabila Jose Mourinho dipecat pada Disember lalu, Mauricio Pochettino dilihat berdepan dengan kenyataan yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester United.
Prestasi skuad kendalian Pochettino semakin meningkat selepas layak ke peringkat kalah mati susulan keputusan seri di Barcelona. Jurulatih dari Argentina itu menjadi tumpuan dan dianggap sebagai pengganti Mourinho di United.
Tiga bulan kemudian, landskap pengurus dan kelabnya telah berubah menjelang aksi menentang Southampton.
Tottenham akan berkunjung ke St Mary dan berpeluang untuk mempamerkan kekuatan mereka selepas kemenangan 1-0 di Borussia Dortmund dan melengkapkan agregat 4-0 sekali gus membantu kelab London Utara itu mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2011.
Bagaimanapun, prestasi dalam saingan domestik tidak begitu memberangsangkan.

Kekuatan untuk mengekalkan kecergasan sekali gus mencatat kemenangan berturut-turut selepas Tottenham beraksi tanpa kelibat pemain utama Harry Kane, Son Heung-Min dan Dele Alli telah menjejaskan mereka akhir-akhir ini.
Spurs gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan liga sebelum ini selepas mencatat keputusan seri dengan Arsenal, tewas kepada Burnley dan Chelsea.
Prestasi hambar itu telah mengubah status mereka daripada pencabar gelaran liga kepada pencabar kedudukan empat teratas liga.
Masa depan Pochettino bagaimanapun, berkemungkinan besar tidak akan berpindah ke United.
Ole Gunnar Solskjaer dijangka akan menjadi pengurus tetap United selepas aksi yang memberangsangkan dalam setiap perlawanan.
Selepas kemenangan yang menakjubkan di Parc des Princes, apabila United menjadi pasukan pertama yang mengubah kedudukan daripada ketinggalan 2-0 di tempat sendiri untuk meneruskan persaingan Liga Juara-Juara, ia sudah jelas bahawa Solskjaer akan diberikan peluang untuk terus berkhidmat selepas musim ini. – AFP

































