Squash Court Warriors juarai kejohanan skuasy

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Squash Court Warriors muncul sebagai juara pasukan lelaki dalam Kejohanan Skuasy Hari Kebangsaan ke-36 yang tertunda selepas berjaya menewaskan Double Dot 2-1 pada perlawanan akhir di Pusat Skuasy Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Pasukan Squash Court Warriors dianggotai oleh Joseph Hong, Abang Huzairie dan Dominic Wong, manakala pasukan Double Dot disertai oleh Ng Thin Chong, Haji Saiful Rizal dan Asmat Umar.

Sementara pasukan Unsquashable yang terdiri daripada Haji Mohd Sufri, Lim Kok Sheng dan Aziz Jaafar berada di tempat ketiga. Menurut Pasukan Squash Court Warriors, mereka meluahkan perasaan gembira kerana dapat kembali beraksi secara kompetitif semasa pandemik COVID-19 ketika ini.

“Sudah lama kami menunggu. Kami ingin kembali ke gelanggang selepas beberapa bulan tidak beraksi. Ia juga sesuatu yang bagus untuk kami menguji seberapa banyak peningkatan yang telah kami capai beberapa bulan yang lalu sebelum perlawanan dihentikan kerana pandemik,” jelas salah seorang anggota kumpulan.

Sementara itu, menurut salah seorang anggota dari kumpulan lain yang turut serta dalam perlawanan tersebut, “Undian perlawanan adalah berdasarkan ranking Persatuan Raket Skuasy Brunei (BSRA) kami, di mana kami mengasingkan siapa yang akan beraksi untuk pemain pertama, kedua dan ketiga dan begitulah juga untuk pasukan lain agar ia dilakukan secara lebih adil.”

Haji Abdul Mateen ketika menyampaikan trofi kepada pasukan Squash Court Warriors.
Antara pasukan yang mengikuti kejohanan ketika sesi bergambar ramai selepas perlawanan.

BSRA yang merupakan penganjur, memperkenalkan kategori pasukan dengan pemilihannya dibuat secara rawak.

Sementara itu, bintang yang semakin meningkat, Alexander Yong menewaskan Otto Wiseman 11-7, 9-11 13-11 dan 11-1 pada peringkat akhir untuk merebut gelaran bawah-21. Manakala Will Tacker meraih tempat ketiga selepas menewaskan Wadi Jaamal 11-9, 11-7 dan 11-7.

Dalam kategori wanita pula, Catherine Carter menjulang gelaran selepas menewaskan saingannya, Hamidah Ismail 9-11, 11-9, 11-4 dan 11-8 pada peringkat akhir.

Kejohanan ini disambung semula selepas lapan bulan pihak kerajaan mengetatkan peraturan bagi aktiviti sukan dalam usaha untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Presiden BSRA, Haji Abdul Mateen bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof berkata, “Kami berjaya menamatkan kejohanan yang telah ditangguhkan selama beberapa bulan.”

Ia akan menjadi kejohanan terakhir dalam kalendar domestik BSRA dengan pertandingan seterusnya dijangka akan diadakan pada bulan Mac 2021.