SR Junjongan lantik ahli PIBG baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sekolah Rendah (SR) Junjongan, hari ini, telah mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi membubarkan ahli-ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang lama dan melantik ahli-ahli baharu.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Ar-Rahmah SR Junjongan itu telah didahului dengan ucapan daripada Guru Besar SR Junjongan, Haji Azhar bin Hamzah selaku penasihat II PIBG sekolah berkenaan diikuti mantan pengerusi PIBG lama, Dayang Ridiah yang sekali gus merasmikan pembubaran PIBG lama dan memulakan pelantikan ahli-ahli baharu. Mesyuarat juga menyaksikan pembentangan kunci kira-kira PIBG.

Hasil undian daripada ibu bapa yang hadir, Awang Rahim bin Duraman dilantik menjadi pengerusi PIBG SR Junjongan bagi sesi 2020 hingga 2022, manakala itu, Haji Rosmadi bin Hidup sebagai setiausaha dan Awang M Noor bin Abdullah menjadi bendahari.

Dengan pelantikan ahli-ahli baharu berkenaan, pihak sekolah berharap akan dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam menaikkan imej sekolah dan juga pembelajaran dan keperluan murid di sekolah.

Gambar ramai semasa mesyuarat agung tahunan di SR junjongan. – Gambar serahan SR Junjongan