Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Sekolah Rendah (SR) Junjongan juga tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dengan mengadakan majlis sambutan di sekolah berkenaan, di Kampung Junjongan.
Majlis sambutan tersebut telah bermula dengan Sembahyang Sunat Hajat yang disertai oleh semua warga sekolah, diikuti dengan membaca Surah Yasin beramai-ramai di Dewan Ar-Rahmah sekolah tersebut, baru-baru ini.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan ucapan Guru Besar Sekolah Rendah Junjongan, Haji Azhar bin Hamzah yang berikutnya merasmikan Sambutan Jubli Emas di sekolah berkenaan.
Majlis berkenaan juga telah diserikan dengan tayangan video kenangan perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Baginda menaiki takhta pada 1967.
Dengan perasmian itu, bermulalah aktiviti sekolah mengikut subjek-subjek di sepanjang Oktober. Antara aktiviti yang akan dijalankan termasuklah peraduan mewarna, membuat karangan mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bermacam-macam lagi di mana para pemenang kemudiannya akan menerima hadiah.