SR Junjongan rai Hari Kebangsaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Bagi memupuk kesedaran murid-murid tentang pentingnya menjaga kebersihan, Sekolah Rendah Junjongan telah mengadakan program kesedaran tentang isu kebersihan dan penguatkuasaan akta pembuangan sampah yang tidak teratur.

Semasa program itu, taklimat telah disampaikan oleh Pengiran Haji Sahibul Hisham bin Pengiran Kamis.

Menurut kenyataan yang diberikan, taklimat juga bertujuan untuk mengajar murid-murid untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana boleh dikenakan denda saman dan penjara.

Sesi taklimat telah disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-36 peringkat sekolah yang diisikan dengan bacaan Doa Selamat Hari Kebangsaan dan ikrar Hari Kebangsaan oleh murid-murid.

Majlis turut menyaksikan pelantikan ketua dan penolong ketua pengawas serta pengawas-pengawas sekolah.

Awang Mohd Rafiz bin Hasnolirwandy selaku ketua pengawas telah mengetuai melafazkan ikrar taat setia sebagai pengawas yang bertanggungjawab di sekolah tersebut.

Pada majlis itu, murid-murid rendah bawah dan atas telah mempersembahkan nyanyian hari kemerdekaan dan persembahan tausyeh.

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi peraduan mewarna sempena Hari Kebangsaan dan pemenang pakaian tercantik mengikut tema sambutan yang disempurnakan oleh Guru Besar, Haji Azhar bin Hamzah.

Murid-murid mengibarkan bendera semasa persembahan sempena perayaan Hari Kebangsaan di Sekolah Rendah Junjongan.