Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 13 April – Pasukan dari Sekolah Rendah (SR) Kampung Menengah, Tutong hari ini telah menjuarai bagi Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah Rendah Kluster 5 setelah mengalahkan SR Bukit Udal dengan keputusan 2-1, sekali gus SR Bukit Udal terpaksa akur menduduki tempat kedua.
Manakala di tempat ketiga disandang oleh Pasukan dari SR Perpindahan Bukit Beruang, Tutong setelah menewaskan Pasukan SR Binturan, Tutong dengan memperolehi mata 2-1.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan tersebut ialah Ketua Kokurikulum Daerah Tutong, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ajamain bin Haji Othman.
Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah Rendah Kluster 5 merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong yang telah diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Tutong, pagi tadi.
Kejohanan ini berjalan selama tiga hari bermula para 11, 12 dan 13 April 2017 dan dikendalikan oleh SR Bukit Udal, Tutong selaku tuan rumah.


Sebelum perlawanan akhir dimulakan, tetamu kehormat diperkenalkan kepada guru-guru pengawas pasukan, pengadil-pengadil kejohanan dan pemain-pemain yang akan beraksi di peringkat akhir hari ini.
Seramai 18 buah Sekolah-Sekolah Rendah kawasan Kluster 5 menyertai kejohanan tersebut.
Turut hadir di kejohanan itu ialah guru-guru besar sekolah yang terlibat dan juga guru-guru pengawas pasukan sepak takraw sekolah-sekolah yang mengikuti kejohanan ini.
Tujuan kejohanan tersebut diadakan adalah bagi menjalinkan hubungan silaturahim di kalangan murid, di samping mengembangkan lagi daya saing yang sihat serta mendokong gaya hidup sihat dengan bersukan.