SR PSB SOAS rai 63 pelajar

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 5 MAC – Seramai 63 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien (SR PSB SOAS), Kuala Belait bagi 2019, telah diraikan dalam Majlis Graduasi dan Penyampaian Hadiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Belait itu ialah Ketua Kluster Enam, Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Asmah binti Awang Tengah yang dialu-alukan oleh Pengetua SR PSB SOAS, Hajah Nor Zurina binti Haji Assim.

Turut hadir ialah guru-guru dan kakitangan sekolah, ahli-ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkenaan serta ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.

Kemuncak majlis ialah penyampaian sijil tamat pengajian serta anugerah dan hadiah-hadiah kepada para graduan termasuk mereka yang memperoleh keputusan 5’A’, 4’A’ dan banyak lagi, serta pelajar yang mencatatkan keputusan tertinggi dalam setiap mata pelajaran dan hadiah insentif, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Sementara itu, Hajah Nor Zurina turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada graduan yang mencapai pelbagai gred, hadiah insentif bagi pelajar proaktif, hadiah-hadiah penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar Tahun 6 serta guru-guru dan kakitangan sekolah.

Majlis juga menyaksikan pengetua sekolah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ibu bapa yang kurang bernasib baik bagi membantu dan menyokong perjalanan pembelajaran anaknya.

Di samping penyampaian sijil, anugerah dan hadiah, majlis juga dimeriahkan dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar sekolah berkenaan serta tayangan slaid ringkas khusus bagi pelajar-pelajar yang diraikan.

Dayang Asmah menyampaikan sijil dan anugerah kepada salah seorang pelajar yang diraikan.