SR Rataie juara menambang syair

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Rataie, Temburong mengu-tip markah 79.67 untuk muncul juara dalam Peringkat Akhir Pertandingan Menambang Syair ‘Permata Nilam Mutiara’ bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara 2020 yang berlangsung di Pentas Pesta Buku, Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli, menyaksikan sebanyak 16 buah sekolah menyertai peringkat saringan yang diadakan pada 29 Februari dan 2 Mac lalu di mana empat buah sekolah beraksi di peringkat akhir pertandingan itu iaitu SR Rataie (juara), Sekolah Al-Falaah (kedua), SR Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ketiga) dan Sekolah St Andrew (keempat).

Pada pertandingan itu setiap pasukan terdiri daripada lima pelajar di mana setiap pasukan dikehendaki untuk menambang syair dengan menggunakan Irama Tambang Begawan, Tambang Siti Zubaidah, Tambang Si Mercu Gunung, Tambang Beranyut, Tambang Berunggai Lanjar atau Tambang Dendang Beradu.

Syair yang akan dibawakan oleh pasukan berkenaan hendaklah dipetik sebanyak 10 rangkap cuplikan daripada Syair Madah Permata, Syair Mutiara Darussalam atau Syair Nilam Jauhari.

Pertandingan itu bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan mendedahkan kemahiran menambang syair kepada para pelajar sekolah rendah, memartabatkan dan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar sekolah rendah dan mengangkat serta mengetengahkan karya-karya syair tempatan.

Pertandingan itu bermatlamat untuk mengembangkan bakat dan menggilap potensi para pelajar dalam penambangan syair tradisi Brunei serta membolehkan para pelajar menghayati dan berkongsi nilai murni serta pengajaran umum yang diperoleh melalui syair Ibnu ‘Abdir-Raheem yang disampaikan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bergambar ramai dengan juara pertandingan, Sekolah Rendah Rataie, Temburong.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani menyampaikan hadiah kepada pelajar Sekolah Al-Falaah.