SR Saba Darat kalung pingat emas

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Sekolah Rendah (SR) Saba Darat meraih pingat emas Kejohanan Sepak Takraw Sekolah Rendah Kluster 2, 2018 selepas mencatat kemenangan dua set tanpa balas ke atas SR Panchor Murai dengan kiraan mata 22-20 dan 21-16.

Sementara itu pingat gangsa di kejohanan itu, yang diadakan di Dewan Sekolah Sukan, menjadi milik SR Panglima Barudin Limau Manis setelah mereka berjaya menundukkan SR Bengkurong dengan kiraan mata 21-15 dan 25-23.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat dan piala kepada para pemenang ialah Pegawai Pendidikan, Kumpulan Petugas Kluster 2, Haji Kairolazhar bin Haji Rosli.

Meskipun tewas pada perlawanan akhir, salah seorang pemain SR Panchor Murai iaitu Mohd Iman Ikhwan bin Murah, telah diumumkan selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik kejohanan.

Kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan bagi Kluster 2 itu kali ini telah dikendalikan oleh SR Raja Isteri Fatimah.

Tetamu kehormat bergambar bersama juara Kejohanan Sepak Takraw Sekolah Rendah Kluster 2, 2018, SR Saba Darat.