Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Sekolah Rendah (SR) Sinaut, semalam telah mengadakan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut pada setiap 21 Februari setiap tahun.
Seramai 123 orang murid dari Darjah Pra hingga Tahun 6 bersama guru-guru dan warga sekolah memeriahkan sambutan tersebut.
Acara dimulakan dengan penerangan mengenai sambutan bertema ‘Harapanku’ itu yang disampaikan oleh Pengerusi majlis iaitu Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, Dayang Nurliha binti Abdullah Ulang.
Kemudian, sambutan diikuti dengan nyanyian lagu beramai-ramai termasuk lagu ‘We are the world’ dan seterusnya acara menulis, melukis dan mereka poster yang memaparkan harapan murid-murid selain turut merakamkan harapan mereka melalui video.
Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian beramai-ramai oleh semua murid.