Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR YSHHB anjur kempen lindungi diri daripada buli

     Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV –Seramai 900 pelajar dari Tahun 1 hingga 5 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah menghadiri kempen Anti-Buli, Tidak Kepada Keganasan dan Anti-Buli Siber yang diadakan di sekolah berkenaan hari ini.

    Kempen yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu diadakan berhubung dengan peningkatan kes buli dan antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta mendidik pelajar tentang kemudaratan psikologi dan sosial akibat buli, keganasan dan buli siber.

    Selain itu, kempen juga bertujuan untuk memperkasakan pelajar untuk menghadapi secara bertanggungjawab dan berani melalui cara melaporkan dan bertindak terhadap buli dengan selamat, secara peribadi dan juga dalam talian.

    Kempen yang dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi itu juga menyokong inisitiaf Program B.E.S.T (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab), Kementerian Pendidikan dan perlaksanaannya bertepatan dengan Hari Antarabangsa UNESCO Menentang Keganasan dan Buli di Sekolah, termasuk Buli Siber.

    Sejurus pelancaran kempen berkenaan, Ketua Bahagian ICT sekolah berkenaan, Bethsaida Sebastian Ruiz telah menyampaikan ceramah untuk meningkatkan kesedaran dengan menjelaskan kesan negatif buli, keganasan dan buli siber dan menekankan kepentingan literasi digital dalam  penggunaan teknologi yang selamat dengan cara menavigasi ruang dalam talian secara bertanggungjawab.

    Kempen berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti dalam bilik darjah seperti peraduan mewarna untuk pelajar Tahun 1 dan 2, peraduan melukis untuk Pelajar Tahun 3 manakala membangunkan ikrar dinding oleh pelajar tahun 4 dan 5 untuk menunjukkan sokongan mereka menentang buli.

    Aktiviti-aktiviti berkenaan mengukuhkan mesej kempen dan menggalakkan kesedaran berterusan dalam komuniti sekolah, di samping melengkapkan pelajar dengan pengetahuan praktikal dan menggalakkan perbincangan mengenai interaksi sosial yang positif.

    Pelaksanaan kempen berkenaan adalah contoh komitmen Sekolah Rendah YSSHB untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pelajar dan mencerminkan dedikasi sekolah terhadap prinsip Program B.E.S.T dan misi UNESCO untuk mencegah keganasan dan buli di seluruh dunia, di samping menekankan kepentingan literasi digital dan amalan teknologi digital untuk pengalaman dalam talian yang lebih selamat.

    Antara pelajar yang menghadiri kempen berkenaan.
    Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam semasa merasmikan kempen berkenaan.

    Antara aktiviti semasa kempen berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda