SR YSHHB lancar Bulan Bahasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang, berpengetahuan dan berkeyakinan, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah melancarkan Bulan Bahasa yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.

Pelancaran Bulan Bahasa anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Arab dan Cina sekolah berkenaan disempurnakan oleh Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi.

Bulan Bahasa dibuat melalui pelbagai aktiviti itu dapat membantu keyakinan pelajar dengan rakan sebaya terutama dalam pembelajaran Bahasa Melayu, Arab dan Cina. Berangkat menyertai dalam aktiviti sempena Bulan Bahasa itu adalah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah.

Pada tahun ini, Jabatan Bahasa Melayu mengungkayahkan aktiviti dengan mempamerkan hasil kerja pembelajaran murid sepanjang Januari hingga Jun.

Sepanjang Bulan Bahasa ini, beberapa aktiviti akan dibuat antaranya aktiviti kosa kata di mana murid-murid mencari makna perkataan daripada kamus.

Selain itu, murid-murid juga membina ayat daripada perkataan yang disediakan dalam balang di samping berlakon mengikut watak dalam buku cerita yang disediakan. Selain Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran teras di sekolah, Bahasa Arab dan Cina juga turut diajarkan di sekolah berkenaan.

YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah ketika menyertai salah satu aktiviti dalam acara tersebut.