SR YSHHB lawat TDDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Rombongan seramai 194 orang murid dan 13 orang guru dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), semalam, telah mengadakan lawatan ke Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) di Berakas Garison.

Berangkat sama ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah; cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah dan cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Awang Mohammad Ashraf As-Seddiq bin Yusrin.

Menurut kenyataan yang diberikan Kementerian Per-tahanan, lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas seterusnya pendedahan kepada pelbagai peralatan tentera seperti radio, kereta angkut perisai dan kereta bomba.

Semasa lawatan berkenaan, aktiviti sampingan seperti menaiki kenderaan-kenderaan tentera dan mempelajari cara memadamkan api juga telah diadakan.

Unit-unit yang terlibat semasa lawatan tersebut ialah Kompeni A, Platun Mortar, Platun Gerak Khas dan Kereta Perisai daripada Batalion Pertama TDDB (1Bn TDDB) dan Khidmat Bantuan Kombat yang terdiri daripada Bahagian Perubatan, Pergigian, Bomba, Kejuruteraan Darat, Skuadron Semboyan dan Depoh Logistik.

Lawatan yang menjurus kepada ketenteraan itu telah memberikan pengetahuan dan pengalaman yang bermanfaat kepada penuntut dan guru-guru serta memberi peluang kepada murid-murid untuk melihat secara lebih dekat peralatan tentera yang digunakan oleh TDDB. Lawatan diakhiri dengan menikmati jamuan dan seterusnya sesi bergambar ramai.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah dan Awang Mohammad Ashraf As-Seddiq ketika mengenakan pakaian tentera.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah ketika menaiki salah satu kenderaan tentera.
Antara gelagat para murid ketika menaiki kenderaan tentera.