Friday, April 25, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR YSHHB raikan pelajar cemerlang PSR

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Bagi meraikan kejayaan pelajar yang menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun 2024, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), kelmarin telah meraikan 44 orang pelajar yang mendapat keputusan 5 A pada majlis anugerah pelajar cemerlang sekolah berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar yang diraikan di majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, Penolong Pengarah Urusan, Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Iswandy bin Ahmad.

    Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar yang cemerlang dalam akademik, menunjukkan kreativiti, menunjukkan kepimpinan, atau mencapai kemajuan yang luar biasa.

    Selain itu, untuk memotivasikan pelajar Tahun 6, di samping memberi inspirasi kepada mereka untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik, menunjukkan contoh positif kerja keras, keazaman, dan kejayaan.

    Terdahulu majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar cemerlang, Pengetua SR YSHHB, Hajah Hafizah binti Haji Salat dalam ucapan alu-aluan antara lain telah mengongsikan pencapaian PSR 2024 sekolah berkenaan di mana sekolah telah berjaya mencapai kualiti pencapaian pelajar yang mendapat gred A hinga C di tahap cemerlang dengan memperoleh 93.64 peratus.

    Manakala bagi pencapaian gred A hingga C kesemua mata pelajaran PSR telah mencecah antara 95 peratus sehingga 100 peratus.

    Walau bagaimanapun, peningkatan pencapaian Gred A bagi kesemua mata pelajaran sedikit menurun sebanyak 1.52 peratus, dan pihak sekolah tidak akan pernah berputus asa dan setentunya akan mengambil inisiatif untuk terus merancang pelbagai strategi bagi meningkatkan pencapaian Gred A dari semasa ke semasa.

    Beliau seterusnya menambah, paling utama kejayaan adalah terletak pada diri pelajar itu sendiri agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecap kecemerlangan.

    “Kejayaan anak merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu bapa mereka,” jelasnya.

    Turut hadir di majlis itu, guru-guru PSR tahun 2024, pegawai dari Jabatan Pendidikan Swasta, timbalan pengerusi PIBG sekolah dan pelajar serta guru-guru Tahun 6, 2025.

    ATAS & BAWAH : Awang Iswandy menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda