SRAM siap sedia anjur ‘pesta skuasy’

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Setelah hampir dua tahun tanpa kejohanan antarabangsa berikutan pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) bersedia menganjurkan tiga kejohanan utama berturut-turut dalam sebulan.

Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata ‘pesta skuasy’ di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil bermula dengan kejohanan Terbuka Malaysia pada 23-27 November, diikuti Kejohanan Berpasukan Asia pada 30 November hingga 4 Disember dan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia pada 7-11 Disember.

Kejohanan kali ini adalah acara sukan pertama menerima kehadiran pemain dari luar negara sejak pandemik COVID-19 melanda awal 2020.

Bagi kejohanan Terbuka Malaysia edisi ke-40 yang dinaik taraf kepada status gangsa dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menyaksikan 16 pemain lelaki dan 15 wanita dalam kedudukan 40 terbaik dunia akan bersaing merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000.

Mendahului senarai pemain lelaki adalah pemain di ranking ke-11 dunia dari Colombia Miguel Rodriguez diletakkan sebagai pilihan utama, diikuti juara perseorangan Asia dari India Saurav Ghosal dan pemain nombor satu negara yang juga juara bertahan Ng EainYow (kali terakhir kejohanan diadakan pada 2019).

“Selain Eain Yow, skuad negara turut diwakili Ivan Yuen, Muhammad Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam, manakala bagi kategori wanita pula, pemain nombor satu negara S. Sivasangari diletakkan sebagai pilihan ke-13,” katanya pada sidang media hari ini. – Bernama