Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SRBT hantar delegasi ke Singapura

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Sebuah delegasi yang terdiri daripada 12 pelajar Tahun 5 dan 3 orang guru Sekolah Rendah Beribi Telanai (SRBT) mengadakan lawatan ke Jurong Primary School (JPS), Republik Singapura bermula 4 Ogos hingga 8 Ogos.

    Lawatan selama 5 hari berkenaan adalah di bawah Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan diselaraskan oleh Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi berkenaan ialah Pengarah Sekolah-Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang. Turut hadir ialah Guru Besar SRBT, pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar berkenaan.

    Dalam lawatan selama 5 hari itu, para pelajar akan berpeluang untuk menyaksikan secara lebih dekat pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah berkenaan selain berpeluang untuk menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman dengan mengikuti sesi pembelajaran serta aktiviti kokurikulum bersama rakan-rakan pelajar dari JPS.

    Di samping itu, mereka juga akan berkesempatan menyertai persiapan dan acara Sambutan Hari Kebangsaan Republik Singapura bersama JPS serta melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Singapura untuk mempelajari sejarah dan kebudayaan negara berkenaan.

    Program Sekolah Berkembar antara SRBT dan JPS telah dilaksanakan sejak 2018 yang bertujuan untuk memupuk sifat bekerjasama dalam pembelajaran dan mengenali budaya masing-masing. Selain itu, program berkenaan juga menumpukan kepada pertukaran sosio-budaya serta mengukuhkan hubungan erat dan kerjasama yang sedia terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Gambar ramai Hajah Marina Chek,pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan delegasi pelajar serta guru Sekolah Rendah Beribi Telanai, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda