Sri Aman catat IPU lebih 400

KUCHING, 20 SEPT – Peningkatan drastik bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman, dekat sini, sehingga melebihi paras bahaya adalah disebabkan peningkatan asap yang dibawa angin dari Kalimantan, Indonesia apabila banyak titik panas dikesan.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Ahmad Saifful Salihin berkata lokasi Sri Aman yang mempunyai penduduk sekitar 100,000 orang pula berada paling hampir dengan negara jiran berkenaan menyebabkannya paling teruk terjejas.

Bercakap kepada Bernama, beliau tidak menolak kemungkinan kualiti udara di Sri Aman yang kini mencatatkan bacaan IPU tertinggi dalam negara akan semakin teruk, antara lain, sekiranya bilangan titik panas di Kalimantan terus meningkat.

“Angin sekarang bertiup dari arah barat daya ke arah Sri Aman membawa jerebu merentasi sempadan negeri Sarawak.

“Jadi faktor penentu kepada kualiti udara di sini (Sri Aman) adalah arah angin dan juga bilangan titik panas di Kalimantan,” katanya.

Sri Aman setakat pukul 4 petang tadi mencatat bacaan IPU 409. Bacaan IPU kawasan berkenaan melonjak secara drastik sejak pukul 8 pagi tadi dengan mencatatkan 402, sebelum terus meningkat pada paras bahaya, berbanding 12 tengah malam, semalam, hanya 236.

Selasa lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menyatakan kesediaan untuk sebarang kemungkinan pengisytiharan darurat bencana jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman melebihi 500.

Selain jerebu rentas sempadan, isu kualiti udara di Sri Aman turut terjejas dengan kebakaran di tiga kawasan di daerah berkenaan yang meliputi kawasan seluas 200 hektar. – Bernama