Sri Lanka berkabung, kematian meningkat 310

ANKARA, 23 April – Sri Lanka telah mengisytiharkan 23 April sebagai hari berkabung nasional selepas beberapa siri pengeboman maut berlaku pada hujung minggu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional yang dipengerusikan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena.

Sirisena juga dijangka bertemu diplomat asing untuk mendapatkan bantuan antarabangsa.

Tiga anak jutawan peruncitan Denmark Anders Holch Povlsen turut terbunuh dalam insiden pengeboman itu.

Povlsen, 46, lelaki terkaya Denmark, merupakan pemegang saham utama dalam syarikat peruncitan fesyen online Britain iaitu Asos dan CEO perniagaan borong fesyen, Bestseller.

Pelajar Kristian dan Islam memberi penghormatan kepada mangsa letupan Sri Lanka di Sekolah Tinggi St. Marys, hari ini. – AFP

“kami tidak mempunyai sebarang kenyataan lanjut dan kami meminta agar privasi keluarga ini dihormati pada masa ini,” kata Jesper Stubkier, pengurus komunikasi Bestseller, dalam satu kenyataan.

Jumlah kematian akibat insiden pengeboman maut di Sri Lanka sudah pun meningkat kepada 310 orang, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis pada Selasa.

Satu lagi letupan kecil berlaku di Kochchikade di ibu kota Colombo pada Isnin petang bagaimanapun tindakan pantas Skuad Pemusnah Bom berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.

Jurucakap Polis Ruwan Gunasekara berkata setakat ini 26 suspek telah ditahan dan operasi  mencari diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Katanya, langkah keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh negara dan menggesa orang ramai tidak berhimpun di tempat awam.

Orang ramai juga diminta segera memaklumkan pihak polis jika menemui bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di jalan raya atau di dalam pengangkutan awam. – Bernama