Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sri Lanka digesa bebaskan aktivis pelajar

    COLOMBO, SRI LANKA, 17 JAN – Kumpulan hak asasi manusia menggesa Sri Lanka membebaskan seorang aktivis pelajar terkemuka, yang ditahan lima bulan lalu semasa protes antikerajaan yang dicetuskan oleh krisis ekonomi terburuk negara itu.

    Pelajar itu ditahan tanpa tuduhan di bawah undang-undang antikeganasan. Wasantha Mudalige dijangka hadir di mahkamah pada hari ini untuk perbicaraan ikat jamin.

    Tujuh kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, berkata di bawah Akta Pencegahan Keganasan yang berkuat kuasa sejak 1979, mahkamah secara rutin menafikan ikat jamin jika ia ditentang oleh peguam negara.

    Mudalige ialah ketua Persekutuan Pelajar Antara Universiti dan terlibat dalam demonstrasi antikerajaan selama berbulan-bulan tahun lepas.

    Penunjuk perasaan menuntut pembaharuan yang meluas untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang menyebabkan kekurangan barangan keperluan, bahan api dan ubat-ubatan selepas Sri Lanka gagal membayar hutangnya yang besar.

    Gambar diambil pada 2 November 2022, Penunjuk perasaan antikerajaan bergelut dengan pegawai polis ketika polis menyekat perarakan protes mereka menuntut pembebasan dua orang ketua kumpulan penunjuk perasaan yang ditahan di Colombo, Sri Lanka. – Agensi

    Protes itu memuncak dengan perletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa, selepas beribu-ribu orang menyerbu kediamannya pada Julai lalu.

    Penggantinya, Ranil Wickremesinghe, memulakan perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memohon dana bantuan berdasarkan kepada pembaharuan dan penstrukturan semula hutang.

    Kerajaan Wickremesinghe juga memberikan kuasa menyeluruh kepada pihak berkuasa untuk membanteras tunjuk perasaan dan menangkap para aktivis.

    Kumpulan hak asasi manusia berkata, tentera berusaha menyekat protes melalui ugutan, pengawasan dan penahanan sewenang-wenangnya sejak Wickremesinghe berkuasa pada Julai.

    Ramai daripada mereka yang ditahan telah dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi kumpulan hak asasi manusia berkata, pihak berkuasa telah menggunakan kuasa untuk mengekalkan Mudalige dalam tahanan walaupun tidak menunjukkan bukti penglibatannya dalam keganasan.

    Kumpulan itu berkata dalam satu kenyataan bahawa setelah penangkapan Mudalige, dia telah ditahan dalam kurungan bersendirian dan dalam keadaan yang teruk, yang melanggar akta larangan penyeksaan atau layanan buruk di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. – AP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...