Sri Lanka hantar semula sisa sampah

COLOMBO, 27 SEPT – Sri Lanka telah menghantar kembali sejumlah sampah ke Britain di mana kerajaan mengatakan bahawa sampah tersebut yang telah dibawa ke negara pulau itu telah melanggar undang-undang antarabangsa yang mengatur penghantaran bahan berbahaya.

Sebanyak 21 kontena – yang memuatkan lebih 260 ton sampah – pertama kali tiba menggunakan kapal di pelabuhan utama ibu kota Colombo di antara September 2017 dan Mac 2018, pihak kastam memberitahu AFP, menambah bahawa mereka telah mening-galkan Sri Lanka kelmarin. Kapal tersebut sepatutnya membawa tilam, karpet dan kain terpakai, tetapi ia turut memuatkan sampah dari hospital, menurut pegawai.

“Pengirim telah bersetuju untuk mengambil semula 21 kontena,” menurut jurucakap kastam, Sunil Jayaratne memberitahu AFP kelmarin.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan pampasan daripada mereka yang bertanggungjawab untuk memasukkan kontena ke negara ini.” Pihak kastam tidak mendedahkan jenis sampah hospital yang diterima, tetapi sebelum ini kontena yang diimport secara haram turut mengandungi kain, pembalut dan bahagian tubuh badan dari bilik mayat, menurut pegawai.

Sebanyak 242 kontena yang lain dari Britain, yang dikatakan oleh kerajaan membawa sampah haram yang melanggar undang-undang antarabangsa, kekal terbengkalai di pelabuhan yang sama dan zon bebas cukai di luar ibu kota. Kontena-kontena tersebut tiba pada 2017 dan 2018.

Pihak kerajaan ketika ini sedang melakukan tindakan terhadap pengirim untuk mengeluarkan 242 kontena tersebut dari negara itu. – AFP