Sri Lanka hentikan sekatan

COLOMBO, 28 JUN – Perintah lockdown yang dikenakan di seluruh Sri Lanka hari ini dibatalkan selepas beberapa sekatan yang dikenakan semula sebulan yang lalu telah dilonggarkan, kata presiden negara itu.

Kerajaan itu mengenakan perintah lockdown pada 20 Mac yang lalu dan melonggarkannya secara berperingkat-peringkat selama dua bulan terakhir, walaupun sekatan pada waktu malam masih lagi dikenakan di beberapa tempat.

Negara itu telah mengenakan sekatan yang lebih ketat pada akhir Mei dan awal bulan Jun untuk mengekang perhimpunan besar untuk pemakaman menteri kerajaan yang terkenal dan acara keagamaan.

“Sekatan pada waktu malam telah dihentikan sepenuhnya mulai hari ini,” kata pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa dalam satu kenyataan.

Pegawai kesihatan mengatakan jangkitan baharu yang dilaporkan sejak 30 April berasal dari Sri Lanka di timur tengah dan telah menjalani kuarantin.

Gambar fail pada 23 April lalu menunjukkan seorang anggota keselamatan (kanan) memeriksa suhu badan pejalan kaki semasa perintah lockdown yang dikenakan kerajaan di negara itu. Perintah lockdown yang dikenakan di seluruh Sri Lanka telah dihentikan selepas beberapa sekatan yang dikenakan semula sebulan yang lalu telah dilonggarkan. – AFP

Sementara kluster di kem tentera laut yang dikawal masih dikuarantin, kata mereka.

“Belum ada penyebaran virus dalam kalangan masyarakat dan jangkitan di kem tentera laut Welisara kini berjaya dikawal,” kata seorang pegawai kesihatan kepada AFP.

Sempadan udara dan laut tetap ditutup, dengan penerbangan antarabangsa ditangguhkan.

Pihak berkuasa telah merancang untuk membuka semula sempadan Sri Lanka pada 1 Ogos nanti, tetapi tarikhnya akan dikaji semula berikutan dengan kebimbangan penularan kes-kes yang diimport, tambah pejabat itu.

Sri Lanka juga akan mengadakan pemilihan parlimennya pada awal bulan Ogos setelah ditunda akibat wabak tersebut.

Sejumlah 2,000 jangkitan termasuk 11 kematian telah direkodkan di negara Asia Selatan setakat ini, menurut angka kerajaan.

Beberapa negara di seluruh dunia kini mula melonggarkan beberapa sekatan bagi memberi ruang untuk membaikpulih sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan wabak berkenaan. – AFP