Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah hari ini berkenaan menyertai Pasukan Bola Jaring Kebangsaan di dalam siri perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Pasukan Sekolah Sri Lanka di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Dalam perlawanan ketiga hari ini, Pasukan Royal Bees Brunei Darussalam sekali lagi berjaya menumpaskan Pasukan Sekolah Sri Lanka dengan jumlah jaringan 70-21.
Pada suku pertama, pasukan negara mendahului dengan jaringan 20 – 2 sebelum meneruskan penguasaan pada suku kedua dengan jaringan 22-3, pada suku ketiga dengan jaringan 16-10 dan 12-6 pada suku terakhir.
Sejurus selepas perlawanan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam yang juga selaku Pengurus Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam, Sabariah Haji Kamel Jumat ketika ditemui menegaskan para pemain menunjukkan semangat juang dan daya saing yang tinggi.


“Meskipun kita sedikit perlahan dalam mencapai objektif, namun setakat ini semua perancangan dan sasaran mencapai ke peringkat yang dimahukan dan saya pasti mereka akan terus berjaya mempertingkatkan pencapaian,” ujarnya.
Beliau berharap agar baki perlawanan dalam siri ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi pemain sebelum terlibat dalam siri perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura sedikit masa lagi.
“Saya berharap supaya semua pemain akan terus menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan pasukan dan akan terus mencuba mempertingkatkan pencapaian peribadi dan pasukan,” tegasnya lagi kepada Media Permata.