COLOMBO, 22 MAC – Sri Lanka hari ini mengerahkan tentera ke stesen minyak berikutan bimbang tercetusnya protes dalam kalangan beribu-ribu pemandu yang beratur setiap hari disebabkan kekurangan minyak.
Negara kepulauan Asia Selatan itu sedang bergelut dengan kegawatan ekonomi terburuk sejak kemerdekaannya pada 1948, dengan bekalan elektrik terputus serta turut mengalami kekurangan barangan keperluan seperti makanan dan gas memasak.
Pihak berkuasa berkata, askarnya terpaksa dikerahkan selepas orang ramai berang, bertindak menyekat jalan yang sibuk di Colombo dan menahan lalu lintas selama berjam-jam kerana mereka tidak dapat membeli minyak tanah semalam.
“Keadaan semakin tegang apabila barisan beratur semakin panjang. Keputusan dibuat malam tadi untuk mengerahkan askar bagi mengukuhkan pertahanan polis.
“Ia untuk mengelakkan sebarang pergolakan,” kata seorang pegawai pertahanan tertinggi yang enggan namanya disiarkan kepada AFP. Rakaman kejadian semalam yang dikongsi di media sosial menunjukkan sekumpulan wanita yang marah menyekat koc yang membawa pelancong untuk membantah kekurangan minyak tanah yang diperlukan untuk dapur memasak. – AFP
