COLOMBO, 26 Julai – Sri Lanka menghantar tentera dan polis hari ini untuk mengedar bahan api tatkala pekerja petroleum membantah berhubung rancangan untuk menjual saham dalam depot minyak milik negara kepada India dan China.
Mogok oleh pekerja syarikat minyak negara, disokong oleh parti pembangkang utama, adalah sebagai respon terhadap penjualan aset negara oleh kerajaan sekarang, yang berkata modal asing diperlukan untuk memajukan infrastruktur pulau itu.
Konstabel dan beratus tentera dihantar untuk mengendali dua tempat pengedaran utama Ceylon Petroleum Corporation (CPC) berhampiran ibu negara Colombo, dan telah mula memulihkan bekalan, kata polis.
“Pengedaran petroleum telahpun diisytiharkan satu perkhidmatan penting mulai tengah malam,” kata kenyataan kerajaan. “Mereka yang tidak melaporkan diri untuk bertugas pada hari ini akan dianggap telah meninggalkan jawatan mereka.”

“Tentera telah membantu polis dalam memberikan keselamatan kepada dua pusat pengedaran minyak,” beritahu jurucakap tentara Roshan Seneviratne kepada AFP. “Kami juga memberikan keselamatan kepada mereka yang telah melaporkan diri untuk bertugas untuk memulihkan bekalan.”
Mogok telah mencetuskan kebimbangan krisis bahan api di pulau itu, dengan barisan panjang kereta dan trak di luar stesen petrol di seluruh negara pada waktu malam.
Kesatuan perniagaan CPC, yang mogok semalam, berkata mereka tidak akan kembali bekerja sehingga kerajaan meninggalkan pelan untuk menjual saham dalam pusat tangki simpanan minyak di timur laut dan selatan pulau.
Kerajaan berkata ia mahu memajukan depot minyak era Perang Dunia Kedua yang tidak digunakan di timur laut pelabuhan Trincomalee bersama sebuah syarikat milik kerajaan India. – AFP