COLOMBO, 9 OGOS – Sri Lanka memulakan pembakaran besar-besaran timbunan mayat pesakit COVID-19 hari ini ketika kes virus melonjak di seluruh pulau itu, kata pegawai.
Negara itu mencatatkan jangkitan harian berganda dalam masa sebulan kepada lebih 2,500 dan hampir 100 kematian, sekali gus membebankan hospitalnya.
Semalam, Majlis Perbandaran Colombo memulakan pembakaran mayat, melupuskan 15 mayat di Tanah Perkuburan Umum Colombo selepas hospital utama pulau itu menjelaskan tidak lagi mempunyai ruang untuk menyimpan mayat.
Pembakaran berskala besar itu adalah yang pertama sejak Disember lalu, apabila kerajaan menolak bantahan keagamaan dan membakar mayat 15 penganut minoriti Muslim, termasuk anak damit berusia 20 hari.
Kerajaan kemudian membenarkan umat Islam dikuburkan di sudut terpencil di timur pulau itu mengikut ajaran Islam, selepas demonstrasi domestik dan antarabangsa.

Kesatuan Inspektor Kesihatan Awam (PHI) berkata, mayat pesakit COVID-19 disimpan di hospital pada hujung minggu kerana krematorium padat sepanjang masa dan tidak mampu menampung lonjakan kes kematian.
Ketua Kesatuan PHI, Upul Rohana, berkata krematorium baharu mungkin perlu dibina untuk mengatasi masalah itu. Rohana berkata, lonjakan jangkitan antara lain menunjukkan aktiviti pengesanan kontak tidak lagi praktikal.
Di Hospital Colombo North terdapat 20 mayat tanpa tempat simpanan, manakala lebih 50 di Hospital Panadura di selatan ibu negara.
Di bilik mayat Hospital Kebangsaan Colombo, semua 66 peti sejuk beku dipenuhi, selain ada timbunan mayat di troli dan meja, kata sumber hospital.
Negara itu melupuskan mayat dan tidak menyerahkannya kepada keluarga, sepanjang pandemik. –AFP
































