COLOMBO, SRI LANKA – Pihak berkuasa kesihatan Sri Lanka pada hari Jumaat lalu mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun, ketika pakar perubatan terkemuka negara pulau itu memberi amaran tentang gelombang jangkitan COVID-19 dalam beberapa minggu akan datang yang dipacu oleh varian Omicron.
Di bawah program vaksinasi baharu, kanak-kanak akan diberi satu dos vaksin Pfizer, kata kementerian kesihatan. Terdahulu, kanak-kanak di atas 15 tahun boleh diberi vaksin. Usaha terbaharu bermula apabila sekolah akan dibuka semula sepenuhnya mulai Isnin. Kanak-kanak sebelum ini dibenarkan bersekolah dalam dua kumpulan.
Langkah itu juga dilakukan ketika pihak berkuasa mengambil langkah untuk mewajibkan sijil vaksinasi memasuki tempat awam. Menurut pegawai kesihatan, 47 kes Omicron telah dikesan setakat ini di Sri Lanka.
Persatuan Pakar Perubatan, yang terdiri daripada doktor terkemuka negara, menunjukkan peningkatan kes COVID-19 pada April lalu sebagai amaran ‘sejarah itu berulang’. Hampir 15,000 orang mati dalam wabak itu.
“Kedai dan bar, pesta (Malam Tahun Baharu) penuh sesak,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan. “Oleh itu, tidak dapat dielakkan varian Omicron akan menyebabkan gelombang jangkitan besar-besaran pada minggu-minggu akan datang.”
Lonjakan April lalu membawa kepada dua sekatan berasingan.
Sekatan terbaharu telah ditarik balik pada bulan Oktober dan pihak berkuasa telah melonggarkan secara beransur-ansur banyak sekatan berkaitan COVID-19.
Pada kemuncak Julai lalu, Sri Lanka melaporkan lebih 3,000 jangkitan harian dan lebih 200 kematian. Jangkitan harian kini sekitar 500, dengan kurang daripada 20 kematian. Negara itu telah merekodkan 589,479 jumlah kes yang disahkan dan 15,065 kematian.
Kehidupan di Sri Lanka telah mula kembali normal dengan penarikan sebahagian sekatan ke atas restoran, pasar raya, pawagam dan majlis perkahwinan.
Tetapi pihak berkuasa telah mengekalkan sekatan ketat ke atas pengangkutan awam dan mereka tidak menggalakkan perhimpunan awam.
Pelitup muka dan penjarakan fizikal di khalayak ramai masih diwajibkan dan polis mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang gagal mematuhinya.
Hampir 64 peratus daripada 22 juta orang Sri Lanka telah diberi vaksin sepenuhnya, dan kira-kira 20 peratus telah menerima penggalak. – AP