Sri Lanka pecat menteri kesihatan kerana guna sihir dan jampi

COLOMBO, 16 OGOS – Presiden Sri Lanka hari ini melucutkan jawatan menteri kesihatannya selepas beliau menggunakan ilmu sihir dan air jampi bagi memerangi COVID-19, ketika jangkitan koronavirus dan kematian mencatatkan rekod tinggi.

Jurucakap pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa mengatakan portfolio kesihatan Pavithra Wanniarachchi telah diberikan kepada menteri media, Keheliya Rambukwella yang juga jurucakap kerajaan. Wanniarachchi dirawat di unit rawatan rapi dalam Januari selepas dijangkiti virus meskipun minum dan meluluskan secara umum air jampi bagi menangani COVID-19 yang dibuat oleh ahli sihir.

Beliau juga menuang ‘air suci’ itu ke dalam sungai pada November selepas seorang lelaki yang mengaku dirinya tuhan memberitahunya bahawa ia akan mengakhiri pandemik di negara pulau berpopulasi 21 juta orang itu. – AFP

Saudara mangsa koronavirus, mengangkut keranda menggunakan beca ke tempat pengebumian di Colombo, 16 Ogos, ketika presiden negara itu memecat menteri kesihatan yang percayakan ahli sihir dan air jampi untuk menangani COVID-19. – AFP