Sri Lanka rampas dadah terbesar di laut

COLOMBO, 5 MAC – Dua kapal pukat tunda asing yang membawa dadah heroin dan methamphetamine kristal telah dirampas dalam tangkapan dadah terbesar di laut Sri Lanka, kata jurucakap tentera laut hari ini.

Tentera menemui 400kg heroin dan 100kg dadah ‘ais’ dalam dua buah bot, kata jurucakap Isuru Sooriyabandara.

Para pegawai menganggarkan dadah itu bernilai 6,000 juta rupee (AS$33.5 juta) pada harga pasaran.

Kapal-kapal itu serta sebuah bot nelayan Sri Lanka hari ini telah diiringi ke pelabuhan dekat bandar Colombo.

Seramai 16 kru asing dan lima kru Sri Lanka telah ditahan untuk disoal siasat, tambah Sooriyabandara. Kerakyatan warga asing berkenaan tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.

“Dua bot asing itu cuba untuk memunggah dadah tersebut ke sebuah bot nelayan Sri Lanka,” kata Sooriyabandara kepada AFP.

Bot-bot asing itu yang tidak ada nombor pendaftaran telah dipintas di perairan antarabangsa kira-kira 1,100km dari pantai Sri Lanka.

Sooriyabandara berkata penyiasat telah memeriksa data GPS pada kapal itu untuk mencari laluan dan tempat asalnya.

Pihak berkuasa berkata siasatan awal menunjukkan pantai Iran-Pakistan menjadi tempat asalnya. – AFP

Kakitangan polis Sri Lanka berdiri dekat bungkusan mengandungi dadah yang dirampas oleh Tentera Laut Sri Lanka di laut, di sub bandar Dikkowita, Colombo pada 5 Mac. – AFP