Sri Lanka tamatkan perintah darurat

SRI LANKA, 23 OGOS – Sri Lanka menamatkan perintah darurat semalam selepas dilaksanakan selama empat bulan susulan insiden serangan bom pada Hari Easter yang mengorbankan 258 orang, kata pihak berkuasa.

Presiden Maithripala Sirisena melanjutkan perintah itu pada setiap 22 hari bulan sejak serangan di tiga hotel dan tiga gereja pada 21 April lalu, lapor AFP.

Bagaimanapun, jurucakap di pejabatnya mengesahkan ia tidak akan dilanjutkan lagi dan berakhir semalam.

“Presiden tidak mengeluarkan proklamasi baharu memperpanjang darurat dengan tempoh lanjut,” kata sumber rasmi.

Kerajaan itu mengisytiharkan darurat sebagai langkah meningkatkan keselamatan di seluruh negara dan memburu kumpulan jihad tempatan yang bertanggungjawab melakukan serangan terbabit serta didakwa penyokong Daish.

Perintah itu juga dilakukan ketika pihak berkuasa berusaha memburu ahli-ahli kumpulan pengganas tempatan yang bertanggungjawab terhadap serangan dan yang mengaku setia kepada kumpulan IS.

Menteri Pelancongan, John Amaratunga, minggu ini berkata beliau telah meminta presiden untuk melonggarkan undang-undang bagi memberi isyarat kepada pelancong asing bahawa keadaan di negara itu kini sudah kembali normal. – AFP

Menteri Pelancongan Sri Lanka John Amaratunga bercakap semasa sidang akhbar di Colombo pada 22 Ogos. – AFP