Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sri Lanka terima bantuan pertanian AS$40 juta

    COLOMBO, SRI LANKA, 12 SEPT – Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan bantuan berjumlah AS$40 juta untuk membeli baja dan produk pertanian utama lain tepat pada masanya untuk musim penanaman akan datang di Sri Lanka.

    Pentadbir USAID, Samantha Power, yang melawat Sri Lanka, membuat pengumuman itu selepas beliau bertemu dengan wakil petani di Ja-Ela di luar ibu negara Colombo. Beliau berkata wang tersebut adalah tambahan kepada AS$6 juta yang diumumkan sebelum ini untuk membantu petani berpendapatan rendah.

    Sri Lanka sedang berdepan krisis ekonomi paling teruk dan kekurangan akut barangan asasi seperti makanan, bahan api dan ubat disebabkan kekurangan mata wang asing untuk membayar import. Hasil pertanian merosot lebih separuh sejak dua musim penanaman sebelum ini kerana pihak berkuasa telah mengharamkan import baja kimia bertujuan mempromosi perladangan organik.

    “Petani yang saya temui menggambarkan cabaran besar yang dibawa oleh krisis ekonomi ke atas mereka dan keluarga mereka serta seluruh komuniti. Mereka menyifatkan fenomena yang tidak dapat dibayangkan dua tiga tahun lalu,” beritahu Power kepada wartawan.

    Beliau berkata menurut Program Makanan Sedunia, lebih 6 juta penduduk – hampir 30 peratus daripada populasi Sri Lanka – sedang berdepan krisis makanan dan memerlukan bantuan kemanusiaan.

    Menurut Power, wang yang diperuntukkan akan membantu 1 juta petani tepat pada masanya untuk musim akan datang yang akan bermula tidak lama lagi.

    Sri Lanka telah mencapai perjanjian awal dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk pakej bantuan bernilai AS$2.9 bilion dalam tempoh empat tahun. Bagaimanapun, program itu bergantung pada jaminan penyusunan hutang daripada pemiutang selepas negara mengumumkan ia sedang menggantung bayaran balik hutang asingnya. – AFP

    Pentadbir USAID Samantha Power (kiri) bercakap dengan pakar pertanian PBB dan pekebun padi semasa lawatan ke sawah padi di Ja-Ela di pinggir bandar Colombo, Sri Lanka pada 10 September 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...