Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka usir lebih 600 orang selepas serangan

    COLOMBO, 5 Mei – Sri Lanka telah mengusir lebih daripada 600 warga asing, termasuk kira-kira 200 ulama Islam, sejak pengeboman berani mati pada Easter yang dipersalahkan ke atas kumpulan jihad tempatan, beritahu seorang menteri kepada AFP hari ini.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Vajira Abeywardena berkata ulama tersebut telah memasuki negara secara sah, tetapi di tengah tindakan keras keselamatan selepas serangan didapati mereka telah tinggal melebihi tempoh dalam visa mereka, di mana denda telah dikenakan dan mereka diusir dari pulau itu. “Memandangkan situasi sekarang dalam negara, kami telah mengkaji semula sistem visa dan mengambil keputusan untuk memperketat sekatan visa untuk guru-guru agama,” kata Abeywardena.

    “Di antara mereka yang diusir, kira-kira 200 adalah pendakwah Islam.”

    Pengeboman pada Hari Paska yang membunuh 267 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain dipimpin oleh ulama tempatan yang didapati telah berkunjung ke India dan berhubung dengan pejuang jihad di sana.

    Menteri tidak memberikan kerakyatan mereka yang telah diusir, tetapi polis berkata ramai warga asing yang telah tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan dalam visa sejak serangan Easter adalah dari Bangladesh, India, Maldives dan Pakistan.

    “Terdapat institusi agama yang telah mendapatkan pendakwah warga asing selama beberapa dekad,” kata Abeywardena. “Kami tidak menghadapi masalah dengan mereka, tetapi terdapat beberapa institusi yang telah berkembang baru-baru ini. Kami akan memberi lebih tumpuan pada mereka.”

    Menteri berkata kerajaan sedang membaik pulih dasar visa negara ekoran kebimbangan bahawa ulama asing mungkin meradikalkan penduduk tempatan untuk mengulangi pengeboman berani mati pada 21 April, yang mensasarkan tiga gereja Kristian dan tiga hotel mewah.

    Sri Lanka mengenakan perintah darurat sejak serangan dan memberikan kuasa kepada tentera dan polis untuk memberkas dan menahan suspek untuk tempoh yang lama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda