SRT sasar enam teratas

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) melihat kemungkinan menjadi pencabar utama pada MotoGP Dunia 2020 yang akan bermula kurang daripada dua minggu.

Pasukan berpangkalan di Malaysia itu telah menamatkan ujian pra musim mereka di Litar Antarabangsa Losail, Qatar semalam, dengan pelumba mereka Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo masing-masing menamatkan ujian hari ketiga dan hari terakhir di tempat kedua dan keempat terpantas.

Morbidelli dari Itali mencatatkan masa terpantas satu minit dan 53.891 saat (s), ketinggalan hanya 0.033s di belakang Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha, manakala Quartararo, hanya 0.21s di belakang Vinales dengan catatan 1:54.077s.

Morbidelli berjanji untuk mencatatkan keputusan yang positif dan lebih baik apabila musim baharu bermula di litar yang sama pada 6 hingga 8 Mac.

“Kami merapatkan jurang masa sedikit demi sedikit dan semalam rentak yang dilakukan amat baik. Saya rasa lebih selesa dengan motosikal, mungkin kerana saya serasi dengannya dan di Qatar ini, kami lakukan peningkatan dan kami perlu terus lakukannya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Ketua Pasukan Datuk Razlan Razali yakin dengan keputusan yang positif di Qatar itu, musim ini akan berikan keputusan yang baik dengan melihat menjadi antara enam pasukan terbaik. – Bernama

Pelumba dari pasukan Petronas Yamaha SRT Franco Morbidelli ketika beraksi pada sesi Ujian Pramusim MotoGP 2020 di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini. – Bernama