Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    ‘Stabil ekonomi sebelum pikul tanggungjawab’

    Jika ditakdirkan dikurniakan cahaya mata cepat, pelakon Puteri Aishah dan suaminya, Muhammad Firdaus Sulaiman pasti tidak menolak.

    Namun, selepas sembilan bulan mendirikan rumah tangga belum menampakkan tanda pelakon filem Pulang itu bakal menimang cahaya mata dalam masa yang terdekat.

    “Saya dan suami tidak pernah merancang. Ada rezeki, adalah. Cuma, kami ingin menikmati momen berdua dan menstabilkan ekonomi sebelum memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa. Suami memahami tuntutan kerjaya saya. Malah, suami juga faham saya kena bekerja untuk keluarga.

    “Namun, sebagai isteri, saya perlu tahu batas dan hormat perasaan suami dan keluarga masing-masing,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Demi di sebuah hotel, baru-baru ini.

    Bekas finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu berkata, dia bahagia menikmati momen berdua. “Balik rumah ada peneman. Memasak pun suami menemani saya,” katanya.

    Puteri Aishah dan suaminya tidak menolak jika dikurniakan anak. – Agensi

    Watak Suraya dalam drama Demi arahan Rahila Ali, Puteri Aishah berkata, dia bersyukur drama ini akhirnya ditayangkan di sebalik ujian yang dihadapi ketika penggambaran.

    “Penggambaran drama Demi dijalankan ketika pandemik mula menular. Banyak dugaan termasuk bertukar hero dan lokasi penggambaran, selain saya disahkan positif COVID ketika pulang ke Malaysia.

    “Setahun juga penggambaran terpaksa dihentikan, untuk kekalkan karakter Suraya agak sukar selepas berehat lama.

    “Namun, saya bertuah Keith sebagai hero gandingan banyak membantu saya menzahirkan watak Suraya yang didera mental dan fizikal,” katanya.

    Puteri Aishah memuji Keith, malah, pertukaran hero bukan masalah besar.

    “Pertukaran hero daripada Ben Amir kepada Keith bukan halangan. Lagipun, babak saya banyak bersama Ashraf Muslim dan pelakon cilik, Puteri Rayyana Rayqa ketika menjalani penggambaran di Scotland.

    “Jadi, ia tidak menimbulkan masalah apabila Keith mengambil watak Ben apabila penggambaran bersambung di Malaysia,” katanya.

    Drama itu turut dibintangi Ika Nabella, Datuk Jalaluddin Hassan, Safura Ya’cob, Riz Amin, Hasnul Rahmat, Aznah Hamid, Esma Daniel, Sahronizam Noor, Shafiq Sahli, Tania Hudson dan Safwan Nazri. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...