KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Sebagai sebuah negara Khatulistiwa yang tidak mungkin dihujani salji, ia bukanlah halangan buat Malaysia untuk membina kemudahan sukan musim sejuk dan menganjurkan sukan itu pada temasya Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung ketika ini.
Selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia melakar sejarah dalam temasya sukan itu yang berlangsung setiap dua tahun sejak 58 tahun lalu apabila sembilan pingat emas dipertandingkan yang melibatkan enam emas acara luncur ais ‘short track speed skating’, dua emas acara luncur ais ‘figure skating’ dan satu emas dalam acara hoki ais.
Venue acara itu terletak di pusat membeli-belah Empire City di Damansara Perdana yang khas dibina untuk sukan ais pada temasya dwitahunan itu bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai, malah mendapat pujian jurulatih dan pemain luar negara.
Jurulatih hoki ais Singapura, Robert Martini menyifatkan Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MyNISS) yang baru dibina itu antara yang terbaik di rantau ini.
Jurulatih dari Kanada itu memuji Malaysia atas usaha yang diambil bagi menyiapkan venue sukan itu sekali gus membantu menghidupkan sukan berkenaan di rantau Asia.
Jurulatih hoki ais Indonesia Khia Peng Tan pula berkata venue luncur ais tersebut boleh dikatakan bertaraf antarabangsa.
Ketua pasukan hoki ais Thailand Tewin Chartsuwan turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyatakan gelanggang ais yang mempunyai empat bilik berpakaian besar, bilik untuk pegawai dan jurulatih itu boleh dikategorikan bertaraf antarabangsa. – Bernama