Stamford Bridge dapat lampu hijau untuk dinaik taraf

LONDON, 12 Jan – Pendahulu Liga Perdana, Chelsea telah mengumumkan bahawa kelab tersebut telah mendapat lampu hijau untuk menaik taraf stadium Stamford Bridge.

Jawatankuasa Perancangan Hammersmith and Fulham Council meluluskan cadangan untuk membina stadium dengan kapasiti 60,000 penonton, yang dianggarkan memakan belanja sekitar 500 juta pound.

“Lebih setahun lalu, permohonan perancangan untuk stadium baru di Stamford Bridge dengan peningkatan jumlah tempat duduk telah dihantar kepada majlis setempat, Hammersmith dan Fulham,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Sepanjang 12 bulan lalu, kami mendapatkan pandangan penduduk setempat, pengusaha-pengusaha, badan berkanun dan bekerjasama dengan majlis berkenaan.

“Malam ini jawatankuasa perancangan mempertimbangkan permohonan itu dan kami berterima kasih di atas kelulusan untuk permohonan bagi menaik taraf gelanggang bersejarah kami.

“Keputusan jawatankuasa itu bagaimanapun tidak bermakna kerja-kerja boleh dimulakan segera.

Ini hanyalah perkembangan terkini ke arah itu, kami masih perlu mendapatkan beberapa kelulusan lain sebelum meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian.” – AFP