Stan Chart raih untung sebelum cukai AS$4.2 bilion

HONG KONG, 27 FEB – Standard Chartered hari ini mengatakan keuntungan sebelum cukainya meningkat kepada AS$4.2 bilion tahun lalu, namun memberi amaran bahawa pertumbuhan bagi tahun 2020 ini kemungkinan besar terjejas akibat wabak koronavirus.

Bank Britain memfokuskan Asia itu menyatakan keuntungan sebelum cukai meningkat lapan peratus dalam 2019 meskipun berdepan ‘satu persekitaran luaran yang semakin mencabar’ kata ketua pegawai eksekutif kumpulan itu, Bill Winters.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan bersama keputusan itu, Winters mengatakan bank kini berdepan kadar faedah rendah, kelembapan ekonomi global, perang perdagangan AS-China dan beberapa bulan protes pro-demokrasi di Hong Kong tahun lalu. Dan kini koronavirus pula mengucar-ngacirkan pertumbuhan ekonomi.

“Cabaran luaran ini bermakna pertumbuhan pendapatan dalam 2020 kemungkinan besar akan lebih rendah berbanding yang kita jangkakan sebanyak 5-7 peratus dalam perkadaran sederhana,” kata Winters, menambah, walau bagaimanapun, keributan ekonomi dalam 2020 hanyalah bersifat ‘sementara’.

Keputusan menunjukkan sebahagian besar China dan Asia Utara menunjukkan prestasi baik dengan pertumbuhan tiga peratus manakala Afrika dan Timur Tengah meningkat 29 peratus yang merupakan pasaran paling pesat pertumbuhannya bagi bank tersebut.

Pengerusi bank, Jose Vinals mengatakan perubahan geopolitik dan struktur masyarakat menjadi ‘semakin kurang pasti berbanding sebelumnya.’

“Ini bermakna ketidakstabilan dan perubahan pesat akan menjadi kenormalan baharu,” kata Vinals.

Minggu lalu, bank HSBC yang juga memfokuskan Asia, mengurangkan 35,000 pekerjaan dan mencatatkan kemerosotan dalam keuntungan sebelum cukai bagi keuntungan tahunan 2019 kepada AS$13.3 bilion. – AFP

Seorang lelaki melintasi logo Bank Standard Chartered di Hong Kong, 27 Februari. Bank itu telah mengeluarkan kenyataan keuntungan sebelum cukai berjumlah AS$4.2 bilion tahun 2019, namun memberi amaran pertumbuhan tahun ini mungkin lebih rendah akibat koronavirus. – AFP