Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Lebih 45 beg sampah yang diisi dengan pelbagai bahan buangan berjaya dikumpulkan dalam Kempen Kebersihan Pantai Meragang yang dijalankan oleh sukarelawan Bank Standard Chartered (StanChart), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan StanChart, inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Bank StanChart (SCBRC) sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada awal Jun lalu dengan tema ‘Pemulihan Generasi’.
Antara lain tujuan kempen adalah untuk mempromosikan pantai tempatan melalui pembersihan dan kesukarelaan demi kebaikan dan memberi kesan positif kepada persekitaran.
Ketua SCBRC, Alexander Lim dipetik menjelaskan, kempen membersihkan pantai ini adalah untuk menimbulkan minat dalam usaha melindungi persekitaran setempat.
“Kami mendapat sokongan dan dorongan untuk melakukan usaha sukarela yang memberi manfaat kepada masyarakat secara meluas,” jelasnya.