StanChart rai kemenangan dengan kempen sambutan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Bagi meraikan kemenangan Anugerah Bank Digital Terbaik Brunei 2021 daripada Global Finance buat kali ke-8, Bank Standard Chartered (StanChart) mengadakan kempen sambutan dengan memberikan peranti terkini bernilai sehingga $35,000 bagi merakamkan penghargaan kepada para pelanggan selama ini.

Menurut kenyataan StanChart hari ini, sepanjang kempen yang berlangsung sehingga penghujung Februari tahun depan, lapan pelanggan bertuah akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah cabutan setiap bulan apabila menggunakan perbankan dalam talian dan aplikasi SC Mobile dengan melaksanakan mana-mana perkhidmatan di bawah Help and Services.

Pelanggan juga akan memperoleh satu peluang cabutan bertuah tambahan apabila mereka melakukan sekurang-kurangnya satu daripada transaksi kewangan dalam talian seperti pemindahan dana antara akaun StanChart, pemindahan dana tempatan antara bank-bank, pembayaran kad kredit atau pembayaran bil.

Seramai 24 pemenang bulanan keseluruhannya akan berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah menarik antaranya komputer riba, telefon bimbit, tablet jenama Apple, produk Microsoft, Samsung Galaxy S21 Ultra Dual, Acer Swift 3 11th Gen dan sebagainya.

Cabutan pertama akan diadakan pada penghujung Disember ini dan diikuti dengan cabutan bertuah kedua pada penghujung Januari tahun depan dan seterusnya pada penghujung Februari.