StanChart Securities perkenal dana Ninety One

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Standard Chartered (StanChart) Securities kini memperkenalkan rakan kongsi dana terbaharunya, Ninety One, pada webinar kelmarin.

Pengenalan dana terbaharu itu akan menyaksikan dua dana Unit Amanah baharu ditambah kepada penawaran dana yang sedia ada, di mana salah satunya menumpu pada ESG, sekali gus menghasilkan lima dana ESG yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Securities, Brenda Low menyatakan pasaran melambangkan cabaran yang unik, dengan pembandaran pesat, peningkatan kerentanan daripada perubahan iklim, dan gangguan sosial dan ekonomi yang ketara disebabkan impak pandemik COVID-19.

“Kami percaya kewangan adalah pen-ting dalam menangani cabaran ini. Ia juga memainkan peranan dalam memanfaatkan peluang; untuk melangkah ke teknologi karbon rendah dan mempercepatkan kemasukan melalui penyelesaian digital. Ini membolehkan individu membina masa depan yang positif untuk diri mereka dan keluarga mereka, perniagaan untuk berkembang maju dan kerajaan mencapai kemakmuran ekonomi bagi masyarakat yang lebih luas,” tambahnya.

Jelasnya lagi, di Standard Chartered, mereka komited untuk membuat perubahan demi membantu pelanggan ke arah perubahan yang lebih baik.

Beliau turut menyatakan bahawa Ninety One ialah pengurus pelaburan global yang aktif dan bertanggungjawab, menumpu membuat perubahan sebenar untuk pelanggan mereka.

“Dengan pengalaman selama tiga dekad, 241 profesional pelaburan dan beroperasi di 14 negara di seluruh dunia, Ninety One menawarkan strategi pelaburan tersendiri untuk membantu pelabur menghadapi dunia yang sentiasa berubah dengan visi pelaburan yang jelas untuk dunia berubah. Dana terbaharu yang dipaparkan, Ninety One Global Environment Fund memfokuskan kepada peluang penyahkarbonan dalam tiga tema pelaburan utama seperti tenaga boleh diperbaharui, elektrifikasi dan kecekapan sumber manakala Ninety One Global Franchise Fund berusaha untuk memberikan pulangan yang berdaya tahan melalui pelaburan yang berfokuskan kualiti,” tambahnya.

Brenda Low semasa berucap pada webinar pengenalan dana terbaharu, Ninety One baru-baru ini. – Gambar serahan StanChart Securities