Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Mulai sekarang hingga akhir Disember, pelanggan boleh mencapai kebebasan kewangan yang mereka impikan dengan memindahkan komitmen semasa mereka kepada Standard Chartered (StanChart), di bawah promosi baharu, Kempen Pemindahan Baki.
Berdasarkan kenyataan yang dikongsikan oleh Bank StanChart, hari ini, menyatakan di bawah Kempen Pemindahan Baki, para pemegang kad kredit StanChart sedia ada atau baharu boleh menikmati faedah sifar peratus selama enam bulan dengan yuran pemprosesan dikecualikan apabila mereka memindahkan baki tertunggak kad kredit mereka daripada bank lain kepada StanChart.
Pemegang kad kredit baharu juga layak untuk pengecualian yuran tahunan selama tiga tahun. Promosi ini diberikan kepada pemegang kad kredit StanChart baharu dan sedia ada.
Untuk pinjaman peribadi, apabila pelanggan memindahkan pinjaman peribadi mereka kepada StanChart dengan jumlah pinjaman minimum yang diluluskan dan tempoh minimum tiga tahun akan layak menerima salah satu daripada tawaran tertentu.
Tawaran-tawaran berkenaan termasuklah pelanggan yang berkelayakan akan menikmati Tawaran A (kadar faedah berkesan sebanyak 6 peratus) ke atas pinjaman peribadi mereka yang diluluskan jika mereka memohon pinjaman peribadi baharu sahaja atau pinjaman semula pinjaman peribadi sedia ada dengan nilai pinjaman tambahan ditetapkan.

Begitu juga tawaran bagi para pelanggan yang layak akan menikmati Tawaran B (kadar faedah berkesan sebanyak 5.5 peratus) ke atas pinjaman peribadi mereka yang diluluskan sekiranya mereka memohon kedua-dua kad kredit baharu dan pinjaman peribadi secara serentak.
Selain itu, tawaran lain juga termasuk pelanggan-pelanggan yang layak akan menikmati Tawaran C (kadar faedah berkesan sebanyak 5 peratus) ke atas pinjaman peribadi mereka yang diluluskan sekiranya mereka memohon pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi baharu.
Kenyataan turut menyatakan bagi promosi ini, yuran pemprosesan untuk semua permohonan pinjaman peribadi akan diketepikan.
Dalam pada itu, untuk pinjaman rumah, apabila pelanggan baharu memindahkan pinjaman rumah mereka dengan jumlah pinjaman minimum ditetapkan dan tempoh minimum 120 bulan, mereka akan layak untuk Tawaran A, kadar faedah pada 3.8 peratus EIR atau Tawaran B, kadar faedah pada 4.25 peratus EIR dan subsidi 3 peratus.
Untuk promosi ini, yuran pemprosesan untuk semua permohonan pinjaman rumah juga akan diketepikan.
Ketua Produk Runcit dan Digital, Aisah Razali, berkata StanChart komited untuk membantu pelanggan mengawal kewangan mereka di mana Promosi Pemindahan Baki hanyalah salah satu daripada banyak cara yang disasarkan oleh pihak bank untuk menyokong pelanggan dalam perjalanan kewangan mereka.
“Dengan kadar faedah yang rendah, yuran pemprosesan yang dikecualikan, ini adalah peluang untuk individu berusaha ke arah kebebasan kewangan mereka,” tambahnya.