STAR asah pelapis negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 141 orang pelajar baharu yang terpilih bagi memasuki Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Pengambilan Kali Ke-22 Tahun 2019-2020 di seluruh negara bermula pada hari ini dengan majlis pendaftaran dan sesi taklimat.

Di Daerah Brunei dan Muara yang berpusat di Sekolah Ugama Beribi, seramai 123 orang menghadiri majlis berkenaan yang mana sesi taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Masidayu @ Hazirah binti Pengiran Hussin.

Sementara itu Pusat STAR di Daerah Tutong pula yang menerima kemasukan sebanyak empat orang pelajar baharu diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, manakala di Daerah Belait diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria dan di Daerah Temburong bertempat di Sekolah Persediaan Arab Temburong yang mana masing-masing menerima kemasukan seramai tujuh orang pelajar baharu bagi pengambilan 2019-2020.

STAR merupakan skim yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam di bawah Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan dengan hasrat bagi melahirkan remaja yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara bertarannum.

Skim yang mula dilaksanakan sejak tahun 1997 ini juga berobjektif untuk melatih serta membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur sementara itu ia juga bermatlamat untuk melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja yang berpotensi menjadi pelapis qari dan qariah negara peringkat kebangsaan.

Pengiran Masidayu @ Hazirah ketika menyampaikan taklimat kepada para pelajar STAR.
Antara pelajar STAR di Daerah Brunei dan Muara yang berpusat di Sekolah Ugama Beribi.