Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Starbucks, Alibaba jalin kerjasama

    SHANGHAI, 2 Ogos – Starbucks hari ini mengumumkan satu perkongsian bersama syarikat gergasi e-dagang Alibaba yang akan memberi akses besar kepada syarikat gergasi kopi Amerika Syarikat (AS) itu memasuki pasaran penghantaran makanan yang berkembang di China ketika ia berdepan persaingan sengit dari syarikat-syarikat tempatan.

    Langkah tersebut dibuat ketika Starbucks yang berpusat di Seattle, berdepan cabaran daripada syarikat China, Luckin Coffee, yang berkembang secara agresif menerusi strategi pesanan penghantaran yang memuaskan, yang dibuat melalui aplikasi pengguna mudah alih.

    “Kami benar-benar percaya bahawa perkongsian ini akan meningkatkan budaya kopi di China,” kata presiden dan CEO Starbucks, Kevin Johnson semasa sidang media di Shanghai.

    Dia berkata perkongsian itu akan “memacu” strategi digital syarikat AS yang sedang berkembang.

    Gambar fail bertarikh 25 Mei 2018 menunjukkan seorang wanita mengambil gambar minumannya dengan berlatarkan logo Starbucks di salah sebuah cawangan kedai kopi itu di Beijing. – AFP

    Di bawah perjanjian itu, produk Starbucks akan dihantar kepada para pelanggan yang akan dikendalikan oleh unit penghantaran makanan Alibaba, Ele.me.

    Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan budaya meminum teh, China sedang menyaksikan satu ledakan dalam penggunaan kopi dan Starbucks telah menyasarkan negara itu sebagai pasaran utama selepas AS dan menjadi sumber utama bagi pertumbuhan baharu syarikat itu.

    Syarikat berkenaan telah pun memiliki 3,400 buah kafe di lebih 140 bandar di China dan berkata pada setiap 15 minit, sebuah cawangan baharu akan dibuka di negara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda