Starbucks bakal hapus penyedut plastik

WASHINGTON, 10 Julai – Syarikat gergasi kopi global, Starbucks mengumumkan semalam ia akan menghapus semua penyedut plastik daripada 28,000 kedainya menjelang tahun 2020, menjadi syarikat korporat terbaharu yang mengambil langkah untuk memerangi pencemaran daripada plastik pakai buang.

Selepas menjalani ujian berbulan lamanya, di mana sebahagian besarnya dijalankan di Britain, firma itu mengumumkan berita tersebut di Twitter.

Sementara itu, penyedut plastik akan diganti oleh penutup kitar semula yang mempunyai pembuka timbul kecil yang membenarkan pengguna menghirup minuman mereka, satu model yang telahpun diuji ke atas beberapa minuman sejuk syarikat di AS dan Kanada.

Penyedut plastik terbukti sukar untuk diproses semula, bukan disebabkan bahan yang digunakan tetapi disebabkan ia terlalu nipis untuk diasingkan di kilang pemprosesan semula. Penutup baharu itu, diperbuat daripada polipropilena dan ia cukup besar untuk mesin bagi proses semula, kata Starbucks.

“Starbucks akhirnya berjaya mewujudkan satu acuan untuk diikuti oleh jenama besar lain,” kata pengarah sumber pembungkusan, Chris Milne. “Kami sedang menaikkan standard untuk apa yang boleh diterima dan memberi inspirasi kepada rakan kami untuk mengikut jejak langkah kami.”

Penutup plastik baharu yang tidak memerlukan penyedut minuman telah dipamerkan di Sausalito, California apabila Starbucks mengumumkan rancangan untuk menghapuskan penyedut plastik menjelang 2020. – AFP

Kedai itu akan menawarkan minuman sejuk dengan penutup baharu, tetapi untuk ‘frappuccinos,’ kopi yang bercampur dengan ais, kedai itu akan menawarkan penyedut kertas atau penyedut yang diperbuat daripada plastik yang boleh dikompos berdasarkan kanji tumbuhan yang diperap. Pelanggan yang memilih untuk menggunakan penyedut dengan minuman, mereka boleh memintanya.

Dengan tidak menawarkan penyedut dengan minuman, Starbucks menganggarkan ia akan menjimatkan berbilion penyedut plastik setahun.

Pelbagai kumpulan sokongan, termasuk Ocean Conservancy, mengalu-alu tindakan tersebut. Beberapa negara Eropah dan bandar di Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk menggunakan penyedut plastik, walaupun pengharaman masih jarang dilaksanakan.

Di AS, Seattle, tempat kelahiran Starbucks, merupakan satu-satunya bandar besar yang telah mengharamkan penggunaan penyedut plastik di kedai makannya.

Tekanan daripada pengguna sedang mendesak banyak syarikat mengatasi bahan buangan daripada pembungkusan. McDonald’s sedang menguji penggunaan penyedut yang terbiodegradasikan untuk minumannya. – AFP