Friday, October 11, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Startup Weekend Brunei: Edisi Wanita’ tutup tirai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – ‘Startup Weekend Brunei: Edisi Wanita’ melabuh tirainya kelmarin dengan majlis penyampaian hadiah yang diadakan di iCentre, Taman Teknologi, Anggerek Desa.

    Dalam acara itu, pemenang tempat pertama ialah Kumpulan RE:ACT dengan idea perniagaan ‘Gerbang dalam talian menghubungkan perusahaan sosial, komuniti dan rakan kongsi’ membolehkan mereka mendapat hadiah ‘mentorship’ selama tiga bulan daripada Tyne Solutions, dua tiket untuk menghadiri acara ‘Insight’ Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), tiket penerbangan ke Bali untuk ‘Techstars Startup Weekend Asia Pacific’ dari 21 hingga 22 Oktober ini.

    Kumpulan BOOKSYS mendapat tempat kedua dengan idea perniagaan ‘Perancangan mudah di hujung jari anda’ sekali gus membolehkan mereka untuk mendapat ‘mentorship’ daripada YEAB dan dua tiket untuk menghadiri ‘Insight’ YEAB.

    Idea perniagaan ‘Platform dalam talian untuk menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kepada pengguna’ telah menempatkan Feat.in di tempat ketiga dengan hadiah berupa ‘mentorship’ daripada YEAB dan dua tiket untuk menghadiri ‘Insight’ YEAB.

    Sementara itu Kumpulan Kalorieku mendapat ‘Honourable Mention’ selepas mengetengahkan ‘Sebuah jam untuk memantau kalori’ sebagai idea perniagaan.

    Para peserta, ahli jawatankuasa penganjur dan hakim bergambar ramai selepas majlis penyampian hadiah tersebut.

    Enam pasukan telah mengemukakan gagasan idea selama tiga hari di samping mengadakan demonstrasi bahkan mereka juga memiliki laman sesawang percubaan.

    Pasukan teratas telah dipilih berdasarkan model perniagaan, pengesahan pelanggan, pelaksanaan dan reka bentuk dengan hadiah ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Tyne Solutions dan YEAB.

    Panel hakim termasuk Pengurus In Country Value di BSP, Hajah Rosita binti Hassan; Pengarah Eksekutif di Arkitek Ibrahim, Dayang Lisa binti Dato Paduka Haji Ibrahim dan Ketua Inovasi di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Yazid Azahari.

    Acara ini telah diadakan dengan kerjasama Progresif sebagai rakan kongsi strategik; rakan ekosistem ialah Darussalam Enterprise (DARe); penaja acara BSP; Tyne Solutions dan YEAB; rakan komuniti, YSEALI Women’s Leadership Academy (WLA) dan rakan penginapan pula ialah Wafa Hotel and Apartment.

    Selain itu, sokongan lanjut acara ‘Startup Weekend Brunei: Edisi Wanita’ ini juga diterima daripada Eco Bumi Arkitek (EBA), Q-Hanz Cafe, Katering Royal Brunei (RBC), Kafe Ah Mit’s Delicacy, Tuppylove @ The Loft dan Little Gourmet.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda