Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Dimensia merupakan satu kebimbangan yang relevan bagi Negara Brunei Darussalam, di mana menurut statistik daripada Laporan Rantau Asia Pasifik Alzheimer’s Disease International (ADI) pada 2015, dianggarkan terdapat kira-kira 2,000 orang penduduk di negara ini mengidap dimensia di mana sebilangan mereka tidak didiagnosis.
Kebimbangan dan statistik itu dikongsi oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle dalam kata alu-aluannya di Program Dementia Care Skills (DCS) Course ADI Train-the-Trainer yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.
Dr. Hazri berkata bahawa di rantau ASEAN, Brunei diunjurkan akan mempunyai perkadaran ketiga tertinggi warga emas menjelang 2040 iaitu hanya di belakang Thailand dan Singapura.
Pada masa yang sama, jelasnya lagi, terdapat juga kebimbangan dengan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan penyakit-penyakit renal di mana kedua-dua faktor berkenaan iaitu usia dan penyakit-penyakit tidak berjangkit akan menyumbang kepada meningkatkannya kes-kes dimensia pada masa akan datang.
Beliau berkata lagi bahawa pada Mei 2017, Perhimpunan Kesihatan Dunia menyokong pelan tindakan global bagi dimensia 2017 hingga 2025 yang mana ia bermatlamat untuk memperbaiki lagi kehidupan mereka yang mempunyai dimensia, keluarga mereka serta mereka yang menjaga mereka yang mempunyai dimensia dan pada masa yang sama, mengurangkan impak dimensia kepada keluarga, komuniti dan negara.
Di samping itu, ulasnya lagi, Deklarasi Brunei Darussalam bagi Mengukuhkan Institusi Keluarga: Menjaga Warga Emas telah disokong di Brunei semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Pembangunan dan Kebajikan Sosial ke-7 pada 2010 di mana negara-negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan sistem-sistem sokongan sosial dan menggalakkan pembangunan program-program pendidikan untuk meningkatkan lagi keupayaan keluarga untuk menjaga warga emas serta mengukuhkan penjagaan komuniti dan keluarga menerusi latihan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat.
Negara Brunei Darussalam, tegasnya, komited untuk mengambil tindakan bagi menyokong usaha itu di mana Kursus Kemahiran Penjagaan Dimensia Program Melatih Jurulatih (Train the Trainer) itu, merupakan salah satu inisiatif untuk menangani isu dimensia.
Dr. Hazri menambah bahawa program itu adalah selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mencapai kualiti kehidupan yang tinggi dan beliau yakin bengkel itu akan mencapai matlamatnya serta akan membantu untuk memastikan bahawa kualiti kehidupan yang tinggi boleh dinikmati oleh mereka yang mempunyai dimensia.
Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Dr. Hazri berkata bahawa dimensia merupakan salah satu penyebab utama bagi kecacatan dan pergantungan dalam warga emas di seluruh dunia.
Perkara itu bukannya sebahagian daripada penuaan normal dan ia tidak hanya mempunyai kesan fizikal, psikologi, sosial dan ekonomi kepada mereka yang mempunyainya tetapi juga kepada penjaga, keluarga dan masyarakat.
Sering kali, disebabkan kekurangan kesedaran dan pemahaman mengenai dimensia, menjadikannya tidak mudah dikenal pasti serta akan menyebabkan kepada diagnosis dan peluang pengurusan yang lewat.